Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
KAZAN, REPUBLIK TATARSTAN, PERSEKUTUAN RUSIA, Jumaat, 15 Mei. - Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam (NBD), Dr. Haji Azman bin Ahmad, selaku wakil Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan NBD bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO), telah menghadiri Persidangan Agung ICESCO kali Ke-15 yang diadakan di Kazan, Republik Tatarstan, Persekutuan Rusia dari 13 hingga 14 Mei 2026.
Persidangan Agung berkenaan dirasmikan oleh Rais Republik Tatarstan, Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Rustam Minnikhanov, yang telah menyampaikan ucapan pembukaan serta mengalu-alukan kehadiran para delegasi ke kota Kazan.
Persidangan berkenaan telah dihadiri oleh wakil-wakil daripada 53 Ahli Anggota ICESCO, serta Ahli Pemerhati, pertubuhan antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sebagai badan pembuat keputusan tertinggi ICESCO, Persidangan Agung berkenaan menghimpunkan Negara-negara Anggota untuk membincangkan hala tuju strategik, meneliti pelaksanaan program dan pencapaian organisasi, serta meluluskan inisiatif-inisiatif masa hadapan dalam bidang pendidikan, sains, kebudayaan dan komunikasi.
Sebagai sebahagian daripada agenda Persidangan Agung, ketua-ketua delegasi turut menyampaikan Kenyataan Negara masing-masing bagi menegaskan komitmen terhadap objektif dan keutamaan ICESCO sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Strategik ICESCO 2026 hingga 2029.
Dalam kenyataannya, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) menekankan keselarasan antara Pelan Tindakan Strategik berkenaan dengan keutamaan pembangunan NBD, khususnya dalam memajukan pendidikan bersedia masa hadapan, Kecerdasan Buatan (AI), transformasi digital, pemeliharaan budaya, pembangunan belia, serta keterangkuman sosial. Keutamaan bersama berkenaan mencerminkan aspirasi NBD dan ICESCO dalam memupuk masyarakat yang berdaya tahan, inovatif, dan berteraskan nilai.
Di samping itu, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) turut menghadiri Majlis Pembukaan 'Kazan – Cultural Capital of the Islamic World 2026' yang berlangsung di Kazan International Exhibition Centre pada Khamis, 14 Mei 2026.
Turut mengiringi Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) ke Persidangan Agung ICESCO ialah pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan. Sebelum berlangsungnya Persidangan Agung ICESCO kali Ke-15, delegasi Kementerian Pendidikan yang diketuai oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) dalam kapasiti beliau sebagai Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan NBD bagi ICESCO, telah menghadiri Majlis Eksekutif ICESCO kali Ke-46 secara dalam talian pada 6 Mei 2026.
Majlis Eksekutif berkenaan memberi tumpuan kepada hal ehwal tadbir urus, pelaksanaan program, serta persediaan bagi Persidangan Agung ICESCO.